PENGENALAN
Sumber tenaga manusia merupakan satu komponen yang paling penting di dalam memastikan kejayaan pencapaian matlamat sesebuah organisasi. Sebaliknya, definisi perancangan sumber manusia pula ialah "suatu usaha untuk menjangkakan permintaan perniagaan dan persekitaran masa hadapan terhadap sesebuah organisasi dan untuk menyediakan personel untuk memenuhi perniagaan itu dan memuaskan permintaan tersebut. Ianya merupakan satu pendekatan ke arah pengurusan personel yang bertujuan untuk menambah satu dimensi ke arah pengurusan manusia di dalam sesebuah organisasi. Perancangan sumber manusia menggalakkan pengurus personel menimbang isu tenaga manusia secara menyeluruh lagi strategik. Namun begitu, perancangan sumber manusia bukanlah satu aktiviti yang serba lengkap kerana keputusan personel dibuat dalam aspek hubungan perusahaan, latihan, pembangunan serta pengambilan pekerja, dan sering dibuat seolah-olah aktiviti tersebut terpisah-pisah.
Perancangan sumber manusia muncul kerana kos pekerjaan, iaitu kos latihan dan kos upah meningkat. Dalam keadaan tertentu, kos ini boleh meningkat dengan cepat apabila tekanan yang dihasilkan oleh tenaga pekerja digabungkan dengan tekanan dari luar. Tekanan ini boleh dimanifestasikan dalam pelbagai cara; biasanya dalam bentuk kekurangan, lebihan atau kos tenaga manusia. Ia kerap kali wujud kerana adanya perubahan teknologi di pejabat atau di kilang. Ini disebabkan pada asasnya berlaku perubahan pesat sosial dan politik yang dirangsangkan oleh masalah sumber dan tenaga. Secara dalamannya, sysarikat kerap kali terjebak dengan masalah perhubungan perusahan yang kain buruk kerana pengurus gagal memujuk para pekerja untuk menerima perubahan yang perlu dilakukan terutama ketika menghadapi prestasi ekonomi yang lembap dan daya saing yang semakin lemah.
Mengikut Jabatan Pekerjaan (Rujukan 1), perancangan sumber manusia bolehlah ditakrifkan sebagai satu strategi pengambilan, penggunaan, pembaikan dan pengekalan sumber tenaga manusia sesebuah organisasi. Menurut Cascio (1995), perancangan sumber manusia ialah satu analisis kerja dasar untuk meramal keperluan terhadap sumber manusia dan juga terhadap rancangan untuk aktiviti seperti latihan, pertukaran, atau kenaikan. Kerap kali maklumat analisis kerja digabungkan ke dalam sistem maklumat sumber manusia.
Tujuan perancangan sumber manusia ialah untuk memastikan wujudnya kefleksibelan dalam suasana yang tidak menentu; dengan tugas pembangunan dasar dan membuat keputusan semasa yang akan membawa kesan kepada tenaga kerja pada masa akan datang. Amalan perancangan sumber manusia boleh dibahagikan kepada tiga aspek umum, iaitu :-
- Perancangan sumber manusia di peringkat makro.
- Perancangan sumber manusia syarikat (di peringkat mikro).
- Teknik perancangan sumber manusia.
Perancangan sumber manusia di peringkat makro dilaksanakan di peringkat kebangsaan. Ia meliputi keseluruhan pengurusan ekonomi yang berkaitan dengan pekerjaan serta pelajaran dan kerap kali melibatkan isu politik. Biasanya ia hanya menyentuh secara ringkas perkara tersebut setakat ia dapat memberi kesan kepada syarikat. Sebaliknya kepercayaan bahawa kerajaan, dengan perancangan yang terperinci dapat berbuat sesuatu melebih daripada sekadar penyediaan rangka kerja untuk organisasi itu beroperasi pasti meleset.
Perancangan sumber manusia di peringkat syarikat menjadi tumpuan utama. Bidang ini memerlukan penglibatan dan menjadi tanggungjawab serta tindakan pengurusan atasan. Walaubagaimanapun, pengurusan bawahan yang tidak diberi tanggungjawab keseluruhan yang strategik perlu memahami betapa pentingnya dihubungkan pelbagai kegiatan personel dengan keseluruhan rangka dasar.
Aspek kegiatan ketiga berkaitan dengan teknik perancangan sumber manusia. Ia meliputi aspek terperinci dan cuba memperkenalkan beberapa teknik yang ada.
Ketiga-tiga aspek berbeza antara satu sama lain kerana "perancangan sumber manusia" yang digunakan dalam aktiviti boleh mendatangkan kekeliruan. Contohnya, walaupun terdapat sedikit persamaan antara tugas satu Suruhanjaya Perkhidmatan Sumber Manusia dengan seorang pegawai personel yang ditugaskan untuk menganalisis pusingan tenaga buruh, namun kedua-duanya dapat dianggap melaksanakan tugas perancangan sumber manusia.
Perancangan sumber manusia merupakan suatu proses yang sistematik dan dirancang. Proses perancangan sumber manusia adalah lebih kompleks daripada lain-lain sumber seperti kewangan kerana ianya bukan berlaku secara tidak sengaja. Ia perlu dilakukan secara berterusan kerana setiap organisasi itu sentiasa ingin melakukan perubahan bagi mencapai objektif yang telah ditetapkan kerana persekitaran di mana proses tersebut berlaku sentiasa berubah.
Pengurusan sumber manusia menjadi unik dan kompleks kerana sesebuah organisasi itu berurusan dengan manusia (pekerja). Keadaan in terjadi kerana beberapa sebab:-
- Manusia adalah sukar untuk diramal/dijangka. Mereka mudah untuk melakukan sesuatu diluar jangkaan/perancangan seperti perletakan jawatan, sakit, enggan melakukan tugas yang diamanahkan dan sebagainya.
- Setiap manusia mempunyai pandangan dan citarasa yang berbeza. Sehubungan dengan itu adalah sukar untuk menghasilkan polisi dan pendekatan yang sama rata yang dapat disesuaikan untuk semua dan dapat memuaskan hati semua pekerja.
- Keperluan sesuatu organisasi bukan hanya melibatkan suatu bahagian kerja sahaja tetapi ianya berhadapan dengan pelbagai masalah dan kerenah yang terdiri daripada pelbagai jawatan yang paling rendah seperti operator mesin, penyelia hinggalah ke peringkat eksekutif termasuklah pihak pengurusan sendiri.
- Keperluan manusia di pelbagai tempat dan keadaan masa akan melibatkan berlaku perpindahan tenaga kerja yang boleh menimbulkan masalah seperti pekerja sukar untuk menyesuaikan diri di tempat baru. Satu sebab faktor perpindahan ini terjadi kerana penawaran gaji (duit) yang lebih menarik.
- Lebihan (lambakan) dan kekurangan pekerja adalah sukar untuk diuruskan. Bilangan staf/pekerja tidak boleh ditambah atau dibuang begitu sahaja kerana ianya melibatkan masa dan kos.
- Selalunya manusia memerlukan perhatian dan pemeliharaan yang sewajarnya terutama yang berkaitan dengan nilai-nilai sensitif. Bagi menguruskan manusia kita memerlukan perhatian yang bersungguh-sungguh dan berdiplomasi. Ini adalah tugas dan tanggungjawab pihak pengurusan sesuatu organisasi itu.
Selain daripada faktor kos yang diambil kira dalam membuat sesuatu keputusan, beberapa faktor persekitaran yang berkaitan dengan manusia juga perlu diberi perhatian yang bersangkutan dengan keselesaan seperti keperluan menyediakan ruang pejabat, tempat letak kereta, kantin, bilik bacaan dan sebagainya bagi mewujudkan persekitaran yang menarik.
Situasi atau keadaan–keadaan yang di atas merupakan kebiasaan kombinasi-kombinasi yang kompleks dan unik yang sering terdapat pada manusia yang mana ianya memerlukan perhatian dan penafsiran secara yang lebih terperinci dan komprehensif dalam proses perancangan sumber manusia.
Keadaan yang dibincangkan di atas adalah lebih tertumpu kepada masalah yang relevan kepada pengurusan dan perancangan dalaman organisasi yang melibatkan tingkah laku manusia.
Sekarang ini akan dibincangkan pula faktor-faktor persekitaran iaitu faktor luaran dan faktor dalaman yang mempengaruhi perancangan sumber manusia yang mana jika pihak pengurus cekap dan berkesan mengatasi masalah ini akan merupakan suatu aset dan memberikan kelebihan kepada sesebuah organisasi itu untuk terus wujud dan mampu mengekalkan daya saingnya.
Antara faktor-faktor luaran yang boleh memberi kesan dan mempunyai pengaruh terhadap sesebuah perancangan sumber manusia termasuklah tenaga buruh, pertimbangan perundangan, persaigan ekonomi, teknologi dan kesatuan sekerja.
Faktor luaran
Tenaga buruh merupakan sekumpulan individu di luar sesebuah organisasi di mana organisasi boleh mendapatkan pekerja mereka. Tenaga buruh ini sentiasa berubah dan ini boleh menimbulkan masalah tenaga kerja bagi sesebuah organisasi. Perubahan terhadap diri individu dalam sesebuah organisasi juga boleh mempengaruhi dan memberi kesan terhadap cara bagaimana pihak pengurusan berurusan dalam menyelesaikan masalah tenaga kerja mereka.
Sistem perundangan dan peraturan berkaitan dengan sumber manusia di sesebuah negara mempunyai kesan yang besar terhadap perancangan sumber manusia. Pertimbangan perundangan sesebuah negara menpengaruhi penetapan polisi berhubung sumber manusia. Contohnya sebuah organisasi yang terlibat dalam bidang pembinaan (construction) sering menghadapi masalah tenaga kerja/pekerja binaan. Sumber manusia tempatan tidak berminat dan bagi mengatasi masalah ini ialah mendapatkan buruh binaan dari negara luar (buruh binaan asing). Di negara kita perlaksanaan strategi ini tidaklah semudah yang disangkakan kerana negara kita mempunyai undang-undang dan peraturan khusus berhubung hal tersebut.
Sesebuah organisasi perlu mampu mengekalkan penawaran buruh yang berkebolehan dan berkemahiran bagi membolehkannya berkembang dan berdaya saing. Organisasi yang mampu menyediakan peluang dan masa hadapan yang cerah kepada pekerja, menyediakan kemudahan dan faedah yang menarik akan lebih mudah untuk menarik minat dan perhatian pekerja untuk menyertai organisasi tersebut. Masalah untuk mendapatkan tenaga kerja yang berkebolehan dan berkemahiran tinggi sudah pasti senang untuk diatasi dan pengurusan sumber manusia tidaklah menjadi terlalu rumit.
Kedudukan ekonomi sesebuah negara itu juga akan memberi kesan dan masalah yang besar kepada perancangan sumber manusia bagi sesebuah organisasi. Pada masa negara mengalami pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan dan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan, organisasi akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan tenaga kerja. Tetapi sebaliknya jika negara mengalami kemerosotan ekonomi, kadar pengangguran akan meningkat. Ini membolehkan organisasi mendapatkan tenaga kerja dengan lebih mudah tetapi pada masa itu peluang pekerjaan tidak banyak diwujudkan.
Perubahan dan perkembangan teknologi moden yang pesat turut memberikan kesan kepada perancangan sumber manusia dalam sesebuah organisasi. Dengan penemuan kaedah-kaedah dan penggunaan teknologi banyak kerja yang selama ini dilakukan secara manual dapat dikendalikan dengan mesin. Ini lebih menjimatkan masa dan kos. Masalah yang timbul ialah untuk mendapatkan atau mencari pekerja yang mahir mengendalikan mesin/peralatan. Para pengurus sumber manusia perlu mengubah suai keperluan sumber manusia ini dari perancangan asal samada melatih kakitangan sedia ada atau mendapatkan staf yang baru.
Kewujudan kesatuan sekerja dalam sesebuah organisasi boleh memberikan masalah kepada pihak pengurusan sumber manusia. Ini kerana apabila para pekerja bersatu, ia mampu membentuk satu kumpulan yang kuat dan mampu mendesak organisasi dalam hal-hal berkaitan dengan kepentingan mereka. Oleh itu sumber manusia ini perlu diurus dengan perancangan yang teliti bagi mengelakkan masalah yang boleh mengugat operasi sesebuah organisasi.
Faktor dalaman
Selain daripada faktor-faktor luaran, faktor persekitaran dalaman juga mempengaruhi keberkesanan dan kecekapan penyediaan perancangan sumber manusia dalam sesebuah organisasi. Segala masalah perlu ditangani dengan bijak dan bersistematik bagi menjamin kelancaran operasi.
Penyediaan sesebuah perancangan sumber manusia adalah berasaskan kepada tahap atau tingkat pengeluaran yang dijangkakan. Adalah diandaikan bahawa masalah terhadap keperluan sumber manusia akan meningkat sejajar dengan peningkatan di dalam pengeluaran sesebuah organisasi.
Kewangan merupakan elemen yang dititikberatkan di dalam penyediaan perancangan sumber manusia. Kedudukan kewangan yang stabil dan kukuh dilihat sebagai satu kemudahan dalam proses menyelesaikan masalah perancangan sumber manusia ini. Jika wujud masalah kewangan yang ketara dalam sesebuah organisasi maka masalah seperti pengambilan dan latihan para pekerja tidak dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan kerana proses ini memerlukan kos biaya yang tinggi di samping peruntukan masa yang agak lama dan bersesuaian.
Bagi sesebuah organisasi yang merancang untuk melaksanakan strategi pemasaran yang aktif, sudah pasti ianya memerlukan lebih ramai tenaga kerja khusus yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan dalam bidang tersebut. Sumber manusia yang ramai ini perlu diurus dengan cekap supaya ianya memberikan kesan yang optimum kepada organisasi tersebut.. Ketidakcekapan pihak yang mengurus akan menimbulkan pelbagai masalah kepada organisasi tersebut. Dengan itu proses perancangan perlu dibuat secara yang bersistematik dan berterusan mengikut keperluan organisasi tersebut.
No comments:
Post a Comment